Pengawal keselamatan Hernan Alberto Gil Flores dikeluarkan daripada runtuhan kompleks Galerias Playa Grande di La Guaira selepas lebih 100 jam usaha menyelamat. (Gambar EPA Images)
CARACAS: Selama beberapa hari, penyelamat dengan penuh berhati-hati menggali runtuhan bangunan di negeri La Guaira selepas gempa bumi kuat melanda Venezuela.
Mereka cuba menghampiri seorang lelaki yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan selama lapan hari, jauh melangkaui “tingkap kritikal” 72 jam untuk bertahan, lapor Xinhua.
Pemangku Presiden Venezuela, Delcy Rodriguez, pada Khamis mengumumkan pengawal keselamatan berusia 43 tahun, Hernan Alberto Gil Flores masih hidup ketika dikeluarkan daripada runtuhan kompleks Galerias Playa Grande di La Guaira selepas lebih 100 jam usaha menyelamat.
“Hari ini, kita meraikan terselamatnya Hernan. Kita meraikan kehebatan semangat manusia apabila orang ramai bersatu untuk satu tujuan: menyelamatkan yang lain,” kata Rodriguez di media sosial sambil mengucapkan terima kasih kepada pasukan penyelamat Venezuela dan luar negara yang terbabit dalam operasi itu.
Video yang mengiringi hantarannya menunjukkan penyelamat dari Chile dan agensi Perlindungan Awam Venezuela bersorak, selepas Gil Flores selamat dikeluarkan.
Gil Flores sedang bertugas di pondok pengawal bangunan tujuh tingkat di bandar pantai Catia La Mar, apabila dua gempa kuat melanda Venezuela pada 24 Jun lalu.
Bangunan itu ranap lalu menimbusnya di bawah runtuhan.
Sebelum diselamatkan, pasukan penyelamat dari beberapa negara bekerja sepanjang masa secara bergilir-gilir untuk mendekatinya.
Menurut AFP, penyelamat pada awal Khamis berkata, mereka hanya kira-kira 1m dari Gil Flores, tetapi perlu meneruskan (penggalian) dengan sangat berhati-hati untuk mengelakkan runtuhan.
Cristian Vera, ketua pasukan penyelamat Chile, berkata struktur runtuhan itu sangat kompleks, menyukarkan mereka sampai ke lokasi tepat mangsa terperangkap.
“Ia benar-benar satu keajaiban. Saya terharu kerana ramai orang berkumpul untuk menyelamatkan seorang individu,” kata isteri mangsa, Gusbimar Gonzalez.
Penyelamatan Gil Flores bukan satu-satunya kisah luar biasa yang berlaku susulan bencana itu.
Terdahulu, seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang terperangkap di bawah runtuhan di La Guaira diselamatkan enam hari selepas gempa bumi.
Pakar secara umumnya percaya kelangsungan hidup di bawah runtuhan gempa sangat sukar selepas 72 jam, sering dianggap sebagai tingkap penyelamat utama.
Gempa bumi berkembar pada 24 Jun lalu mengorbankan sekurang-kurangnya 2,295 orang, mencederakan 12,400 dan menyebabkan 12,841 kehilangan tempat tinggal setakat ini, menurut angka rasmi terkini.
Pihak berkuasa merekodkan 782 gegaran susulan sejak bencana itu.
Walaupun kekerapan dan magnitud gempa susulan berkurangan serta lemah, Presiden Dewan Negara Venezuela, Jorge Rodriguez, pada Rabu memberi amaran risiko gempa susulan lebih kuat masih ada.
Pihak berkuasa Venezuela memaklumkan lebih 30,000 pekerja penyelamat dan pemulihan negara menyertai ribuan responden antarabangsa dalam usaha mencari dan menyelamat.
Anjing penyelamat dan kenderaan sokongan turut dikerahkan ke kawasan bencana untuk membantu mencari mangsa terselamat dan memindahkan penduduk terjejas.