Fuziah Salleh tegur Hadi Awang yang terus memainkan sentimen perkauman dalam berpolitik.
PETALING JAYA: Presiden PAS Hadi Awang diseru tidak terlalu ghairah memainkan sentimen perkauman susulan ulasannya mengenai usaha NGO menggerakkan masyarakat Cina turun memilih pada PRN Johor.
Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh, berkata sudah menjadi kewajipan setiap warganegara menunaikan hak mengundi.
“Adalah kewajipan setiap warga Malaysia menunaikan hak dan tanggungjawab mengundi demi memastikan hala tuju dan masa depan negeri serta negara, manakala pemimpin pula mengingatkan rakyat berkenaan hak dan tanggungjawab ini.
“Nasihat saya kepada Hadi, sudah-sudahlah memainkan sentimen perkauman dalam bicara beliau. Malaysia tidak memerlukan pemimpin bersifat begini,” katanya kepada FMT.
Fuziah berharap rakyat menolak politik perkauman dan kebencian di peti undi.
“Rakyat Malaysia sebenarnya mahu hidup harmoni, hormat-menghormati dan bersama-sama membina masa depan Malaysia yang lebih progresif, berdaya saing serta mampan.”
Beliau mengulas kenyataan Hadi yang menyuarakan kebimbangan terhadap laporan 134 NGO menggerakkan masyarakat Cina pulang mengundi, pada PRN Johor Sabtu ini.
Semalam, media turut melaporkan sebanyak 134 persatuan Cina termasuk Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), mengeluarkan kenyataan bersama menyeru pengundi Johor dan Negeri Sembilan pulang mengundi.
Selain KLSCAH, kenyataan bersama itu turut ditandatangani termasuk Dong Zong (Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia), Jiao Zong (Persekutuan Persatuan Guru Sekolah Cina Malaysia), Merdeka University Berhad (MUB), pelbagai dewan perhimpunan Cina negeri, Pusat Kajian Cina Malaysia (CMCS), serta Yayasan Kebudayaan LLG.
Sementara itu, Ahli Parlimen Pulai yang juga calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Larkin, Suhaizan Kaiat, berkata usaha menggalakkan rakyat keluar mengundi adalah amalan demokrasi yang baik dan tidak wajar dijadikan bahan menakut-nakutkan.
“Mana-mana pihak yang menggerakkan orang ramai keluar mengundi adalah amalan yang baik. Mengapa dijadikan bahan untuk menakutkan orang lain?
“Dalam PH kita amalkan hormat-menghormati antara satu sama lain. Kita galakkan kadar keluar mengundi yang tinggi. Melayu, Cina, India, dan kaum lain digalakkan mengundi calon pilihan masing-masing,” katanya.


