Serpihan pesawat kargo Boeing 737 milik K2 Airways ditemui di selatan Ormara, daerah Gwadar di wilayah Balochistan pada Rabu. (Gambar EPA Images)
ISLAMABAD: Tentera Laut Pakistan pada Rabu menemui bangkai pesawat kargo Boeing 737 milik K2 Airways yang dilaporkan hilang di Laut Arab selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) selama 12 jam, kata Pihak Berkuasa Lapangan Terbang Pakistan (PAA), lapor Xinhua.
PAA dalam kenyataan berkata, bangkai pesawat itu ditemui kira-kira 53 batu nautika di selatan Ormara, sebuah bandar pesisir pantai di daerah Gwadar, wilayah Balochistan di barat daya Pakistan.
Operasi itu melibatkan aset udara dan laut milik Tentera Laut serta Agensi Keselamatan Maritim Pakistan.
PAA memaklumkan operasi SAR diteruskan bagi mengesan lima kru masih hilang dan maklumat lanjut akan dikeluarkan dari semasa ke semasa mengikut perkembangan operasi.
Pesawat kargo yang dalam penerbangan dari Sharjah ke bandar pelabuhan Karachi di selatan Pakistan itu dilaporkan hilang pada malam Selasa susulan laporan kerosakan pada sistem navigasi, menurut PAA.
Dalam kenyataan terdahulu, PAA memaklumkan pesawat itu sedang dipandu Pusat Kawalan Kawasan Karachi sebelum ia tiba-tiba menjunam, mengubah haluan secara mendadak dan hilang daripada pengesanan radar serta terputus hubungan radio kira-kira 155 batu nautika di barat Karachi.

