PRN Johor 2026 memperlihatkan satu fasa baharu dalam landskap politik. Jika sebelum ini persaingan politik lebih tertumpu kepada beberapa gabungan utama yang jelas kedudukannya, kali ini keadaan menjadi lebih kompleks dengan kemunculan parti-parti baharu, perubahan hubungan antara parti dalam gabungan sedia ada serta persaingan yang semakin terbuka. Berbanding pilihan raya negeri terdahulu, pertandingan kali ini tidak lagi boleh dilihat sekadar sebagai pertembungan antara dua atau tiga blok politik utama. Sebaliknya, ia melibatkan pelbagai parti dan gabungan yang berpotensi memecahkan undi serta mempengaruhi keputusan di banyak kawasan.
Berdasarkan senarai calon yang diumumkan setakat ini, persaingan di Johor dijangka menjadi antara yang paling sengit dalam sejarah politik negeri tersebut. Pakatan Harapan (PH) meletakkan 56 calon melibatkan PKR (20), DAP (17) dan Amanah (19). Barisan Nasional (BN) pula bertanding secara solo dengan 56 calon terdiri daripada Umno (37), MCA (15) dan MIC (4). Perikatan Nasional (PN) mempertaruhkan 33 calon melibatkan Bersatu (16), PAS (11), MIPP (5) dan seorang calon Pejuang. Parti Muda menampilkan empat calon, manakala Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Bersama turut mengambil bahagian (15) kerusi.
Komposisi ini menunjukkan PRN Johor 2026 tidak lagi boleh dibaca sebagai persaingan dua atau tiga penjuru. Sebaliknya, banyak kerusi dijangka menyaksikan pertandingan pelbagai penjuru yang berpotensi memecahkan undi dan menjadikan keputusan lebih sukar diramal. Dalam konteks ini, kehadiran parti-parti baharu seperti Bersama boleh memberi kesan tersendiri, khususnya dalam kalangan pengundi bandar, separa bandar dan pengundi muda. Walaupun parti-parti baharu tidak semestinya memenangi banyak kerusi, keupayaan menarik sebahagian kecil undi boleh mempengaruhi keputusan di kawasan yang menyaksikan persaingan sengit. Dalam sistem pilihan raya majoriti mudah, peralihan undi yang kecil sekalipun boleh membawa implikasi besar terhadap keputusan akhir.
Dalam masa yang sama, perhatian tertumpu kepada dinamik dalam PN, khususnya hubungan antara PAS dan Bersatu yang dilihat kurang terselaras berbanding pilihan raya terdahulu. Walaupun kedua-duanya masih bertanding di bawah gabungan yang sama, pendekatan kempen yang lebih menonjolkan identiti parti masing-masing boleh menimbulkan persepsi bahawa kerjasama yang wujud lebih bersifat taktikal berbanding kesepaduan politik yang menyeluruh. Dalam politik, persepsi sering kali mempunyai pengaruh yang hampir sama besar dengan realiti. Persepsi terhadap tahap kesepaduan sesebuah gabungan boleh mempengaruhi keyakinan pengundi, terutama dalam kalangan mereka yang mengutamakan kestabilan dan kejelasan hala tuju politik.
Hubungan antara PH dan BN turut menambah lapisan kompleksiti tersendiri. Di peringkat persekutuan, kedua-dua gabungan ini berkongsi tanggungjawab dalam pentadbiran negara. Namun, di Johor, mereka bertanding secara berasingan dan bersaing untuk mendapatkan mandat rakyat. Keadaan ini mewujudkan situasi yang unik apabila rakan kerjasama di peringkat nasional menjadi pesaing di peringkat negeri. Sepanjang tempoh kempen, perbezaan naratif dan pendekatan politik antara kedua-dua pihak dijangka menjadi perhatian pengundi. Bagi penyokong tegar parti, keadaan ini mungkin tidak menimbulkan persoalan. Namun bagi pengundi atas pagar, ia boleh menimbulkan pertanyaan mengenai konsistensi dan hala tuju kerjasama politik semasa.
Selain itu, pengaruh media sosial dijangka terus memainkan peranan penting dalam membentuk persepsi politik. Berbanding pilihan raya terdahulu yang banyak bergantung kepada ceramah dan media tradisional, PRN kali ini berlangsung dalam ekosistem digital yang bergerak pantas dan dipacu oleh algoritma. Kandungan ringkas, tular dan mudah diakses sering kali lebih berkesan dalam membentuk tanggapan awal pengundi. Pengundi muda khususnya semakin cenderung menilai parti dan calon berdasarkan isu yang dekat dengan kehidupan harian mereka. Dalam keadaan ini, keupayaan parti untuk menyampaikan mesej secara jelas, konsisten dan mudah difahami menjadi semakin penting.
Dengan landskap politik yang semakin terbuka dan kompetitif, kadar keluar mengundi dijangka menjadi antara faktor penentu utama keputusan pilihan raya. Persaingan pelbagai penjuru, kemunculan parti baharu dan pertembungan pelbagai naratif politik boleh sama ada meningkatkan minat pengundi untuk keluar mengundi atau sebaliknya menimbulkan kekeliruan dalam kalangan sebahagian mereka. Dalam tempoh berkempen, tumpuan sewajarnya perlu diberikan kepada penawaran dasar dan penyelesaian terhadap isu-isu yang dekat dengan kehidupan rakyat seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan, pembangunan ekonomi, perumahan, infrastruktur dan tadbir urus negeri. Fokus terhadap isu-isu substantif ini akan membantu pengundi membuat penilaian yang lebih bermaklumat berbanding kempen yang terlalu tertumpu kepada serangan politik semata-mata.
Kesimpulannya, PRN Johor 2026 bukan sekadar pertandingan antara PH, BN dan PN, tetapi juga ujian terhadap keupayaan semua parti dalam menawarkan dasar, kepimpinan dan naratif yang meyakinkan. Ia turut menjadi ukuran sejauh mana gabungan politik mampu mengekalkan keyakinan pengundi dalam landskap politik yang semakin dinamik.
Lebih penting, pilihan raya kali ini turut memperlihatkan cabaran yang dihadapi pengundi dalam membuat pilihan. Kehadiran pelbagai parti, persaingan pelbagai penjuru, hubungan politik yang semakin kompleks serta lambakan maklumat di media sosial menjadikan proses membuat keputusan tidak lagi semudah sebelum ini. Dalam keadaan sedemikian, pengundi bukan sahaja menilai parti yang bertanding, malah turut meneliti kredibiliti calon, idea yang dibawa serta kemampuan mereka menawarkan penyelesaian terhadap isu-isu yang dihadapi rakyat.
Akhirnya, PRN Johor 2026 akan menjadi medan untuk menguji sejauh mana parti-parti politik berjaya meyakinkan rakyat, dan pada masa yang sama mengukur kebijaksanaan pengundi dalam menilai pelbagai pilihan yang ditawarkan. Seperti mana-mana proses demokrasi, keputusan di peti undi akan menentukan arah politik Johor bagi tempoh lima tahun akan datang.
Nur Ayuni Mohd Isa ialah pensyarah kanan dari Universiti Putra Malaysia (UPM) yang kini sedang menjalani penyelidikan pasca doktoral di Jabatan Politik dan Pengajian Antarabangsa, Pusat Asia Tenggara (SEAC), School of Oriental and African Studies (SOAS), University of London.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

