Parti Wawasan Negara dilancarkan Hamzah Zainudin di konvensyen Reset di Tanah Merah, Kelantan pada 13 Jun lalu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Parti Wawasan Negara merupakan versi penjenamaan semula Parti Cinta Malaysia (PCM) yang berpangkalan di Pulau Pinang, kata pengasas bersama PCM, Huan Cheng Guan.
Menurutnya, peralihan itu dipersetujui beberapa bulan lalu dan tidak melibatkan sebarang transaksi kewangan.
Huan Cheng Guan.
Huan, yang mengasaskan PCM pada 2009 dan kini merupakan salah seorang naib presiden Wawasan, berkata pengambilalihan parti itu oleh Hamzah Zainudin dan sekutunya mendapat sokongan sebulat suara daripada kepimpinan kanan parti.
“Tiada sebarang bayaran dibuat. Saya masih berada dalam parti sebagai naib presiden dan saya juga akan terus aktif di Pulau Pinang,” katanya kepada FMT.
Huan berkata, penjenamaan semula itu didorong oleh ketidakmampuan PCM untuk mencapai tarikan politik walaupun telah wujud selama 16 tahun.
“Kami tidak berjaya membuat sebarang kejayaan besar. Kami juga tidak mempunyai wakil (di Parlimen atau DUN), jadi kami fikir lebih baik menjenamakan semula parti ini dan menjadikannya berbeza,” katanya.
Beliau berkata, transformasi itu serta-merta menaikkan kedudukan parti, dengan menyatakan bahawa parti itu bakal mempunyai 19 Ahli Parlimen dan lima Adun.
Ketika ini, Wawasan secara rasmi mempunyai enam Ahli Parlimen. Seramai 13 lagi wakil rakyat yang berpihak kepada Hamzah masih bersama Bersatu tetapi telah digantung keahlian.
Huan berkata, ahli PCM sedia ada akan diserapkan secara berperingkat ke dalam struktur parti di peringkat negeri dan bahagian, dengan keutamaan ketika ini diberikan kepada penyusunan kepimpinan baharu di peringkat Parlimen dan negeri.
Beliau turut berkata parti itu mengadakan mesyuarat agung luar biasa pada Sabtu lalu dan sedang dalam proses memaklumkan pertukaran nama kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan.
Wawasan memperkenalkan barisan kepimpinan pusat baharunya susulan mesyuarat tersebut, dengan bekas timbalan presiden Bersatu, Hamzah Zainudin, dilantik sebagai presiden.
Beberapa lagi pemimpin Bersatu yang baru-baru ini dipecat daripada parti itu, termasuk Wan Saiful Wan Jan, Saifuddin Abdullah dan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, turut menyertai barisan kepimpinan baharu tersebut.
Parti itu turut melantik Rais Yatim sebagai pengerusi.
Hamzah berkata persoalan mengenai kesahihan Wawasan tidak sepatutnya berbangkit kerana parti itu hanya mengambil alih sebuah parti sedia ada dan menukar namanya.


