Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata BNM berperanan memastikan institusi kewangan mematuhi dasar utama serta melaksanakan pemantauan sewajarnya agar pembiayaan disediakan dapat dimanfaatkan usahawan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus memastikan institusi kewangan memproses pembiayaan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) lebih pantas serta berhemat untuk menyokong kelangsungan perniagaan sektor itu, kata Anwar Ibrahim.
Perdana menteri berkata, peruntukan besar yang disalurkan kerajaan untuk memperkasa PMKS tidak bermakna, jika usahawan kecil sukar mendapatkan pinjaman.
Anwar yang juga menteri kewangan berkata, Bank Negara (BNM) berperanan memastikan institusi kewangan mematuhi dasar utama serta melaksanakan pemantauan sewajarnya agar pembiayaan disediakan dapat dimanfaatkan usahawan, walaupun bank swasta menguruskan sendiri kelulusan pinjaman.
“Tidak ada makna kalau kita berikan peruntukan besar, tetapi sukar mendapat pinjaman. Sebab itu ada beberapa kaedah, terutama bank yang berurusan dengan syarikat kecil.
“Tahap kecepatan kelulusan, (contohnya) format pinjaman Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional, penyalurannya boleh dipendekkan sehingga lima hari,” katanya pada waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan tambahan Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) berhubung PMKS mendapatkan pinjaman.
Anwar berkata, Bank Rakyat telah mengurangkan tempoh pembayaran bagi perusahaan mikro kepada enam hari bekerja, manakala SME Bank menetapkan tempoh kelulusan tidak lebih 15 hari bekerja bagi pembiayaan RM100,000 hingga RM1 juta.
Mengulas dakwaan sesetengah bank mengenakan syarat pembiayaan ketat terhadap urus niaga melibatkan negara tertentu, beliau mengakui kekangan sebelum ini susulan sekatan antarabangsa yang menjejaskan urusan perdagangan dengan negara seperti Iran dan Rusia.
Jelasnya, peraturan tidak begitu jelas serta tekanan akibat sekatan dikenakan Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara lain menyebabkan urusan perdagangan Malaysia dengan Iran dan Rusia sangat sukar.
“Bagaimanapun, keadaan kini telah berubah. Kerajaan telah mengadakan rundingan dengan Iran dan Rusia bagi mempermudah kaedah pengurusan pembayaran, selain mengambil keputusan meningkatkan perdagangan dan pelaburan dengan kedua-dua negara itu yang turut terkesan akibat sekatan barat.
“Dalam pertemuan saya dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin bulan lalu, kami membincangkan beberapa langkah bagi memudahkan urusan perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara. Sebagai contoh, isu penerbangan terus dari Rusia ke Malaysia yang sebelum ini terhalang akibat pelbagai sekatan sedang diselesaikan.”
Menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) mengenai cadangan memperluas pembiayaan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) kepada golongan lelaki dan belia, katanya, AIM sebenarnya tidak terhad kepada wanita, namun kira-kira 98% peminjamnya terdiri daripada golongan itu.
Menurutnya, kerajaan menambah dana pinjaman AIM dalam belanjawan lepas dan bersetuju pembiayaan kepada golongan lelaki yang layak dipertingkatkan.
Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan akan meminta AIM turut memfokuskan golongan muda, termasuk menawarkan pinjaman bersesuaian dengan keperluan mereka serta mekanisme pengurusan lebih terjamin bagi memastikan pembayaran balik dapat dilaksanakan dengan baik.
Terdahulu, Anwar memaklumkan kerajaan menyediakan lebih RM15 bilion kemudahan pinjaman dan jaminan pembiayaan bagi menyokong PMKS, termasuk RM5 bilion yang dikhususkan kepada usahawan Bumiputera.
Sejak Mei lalu, katanya, BNM meluluskan hampir RM1 bilion pembiayaan di bawah Kemudahan Bantuan Kestabilan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang memanfaatkan lebih 1,500 PKS, manakala Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan meluluskan pembiayaan RM4.9 bilion kepada lebih 6,000 PKS pada separuh pertama tahun ini.


