Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar sebelum ini dakwa Putrajaya berhutang RM1.43 bilion kepada kerajaan negeri berhubung pembinaan LPT2. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Perdana Menteri Anwar Ibrahim menolak gesaan supaya Putrajaya ‘membayar balik’ RM1.43 bilion kepada kerajaan Terengganu bagi kos pembinaan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).
Anwar yang juga menteri kewangan, berkata kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri sebelum ini bersetuju menggunakan Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) untuk menampung sebahagian kos pembinaan lebuh raya itu.
Katanya, mengikut arahan akaun amanah DKKP, dana itu digunakan bagi “program, projek dan aktiviti yang memberi manfaat kepada rakyat” di negeri-negeri berkaitan.
“Arahan akaun itu tidak mempunyai peruntukan berhubung pembayaran balik kepada mana-mana kerajaan negeri sekiranya projek yang dilaksanakan kerajaan persekutuan atau agensi persekutuan dibiayai melalui akaun amanah DKKP.
“Oleh itu, tuntutan supaya kerajaan persekutuan membayar balik RM1.43 bilion kepada kerajaan Terengganu bagi kos pembinaan LPT2 tidak berbangkit,” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen kepada Shaharizukirnain Abdul Kadir (PN-Setiu).
Anwar berkata, kerajaan terbuka untuk mempertimbangkan cadangan daripada kerajaan Terengganu bagi program atau projek baharu di negeri itu menggunakan dana DKKP.
Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar sebelum ini mendakwa Putrajaya berhutang RM1.43 bilion kepada kerajaan negeri berhubung pembinaan LPT2.
Samsuri yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN) mendakwa ada kertas Kabinet yang memperincikan persetujuan untuk membayar balik jumlah itu kepada kerajaan negeri.


