Komander Operasi Bomba Kuala Lumpur, Mohd Fadzlil Jamaludin, berkata punca kemalangan masih disiasat pihaknya bersama polis. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA: Dua rentung, manakala seorang terselamat selepas kereta dinaiki terbakar di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) susur keluar Jalan Kuching, Kuala Lumpur, pagi ini.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur dilaporkan menerima panggilan kecemasan pada 5.20 pagi, dengan anggota dari Balai Bomba dan Jinjang serta Sri Hartamas digegaskan ke lokasi.
Komander Operasi Bomba Kuala Lumpur, Mohd Fadzlil Jamaludin, berkata sebaik tiba di lokasi pasukan bomba mendapati sebuah kereta terbabas sebelum terbakar.
“Tiga mangsa terbabit dalam kejadian itu. Dua mangsa rentung akibat tersepit dalam kereta yang terbakar, manakala seorang lagi berjaya diselamatkan.
“Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya dan kereta itu musnah 100%,” katanya menurut Berita Harian.
Beliau berkata, mangsa yang terselamat diserahkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Katanya, punca kebakaran dan kemalangan masih dalam siasatan Unit Forensik Bomba Kuala Lumpur bersama polis.

